English

KENYATAAN MEDIA

Kuala Lumpur, 1 Oktober 2024

KWSP ANJUR PELANCARAN BULAN LITERASI KEWANGAN 2024

KWASA DAMANSARA, 1 Oktober 2024: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebagai sebahagian daripada Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), melancarkan Bulan Literasi Kewangan Kebangsaan (FLM) 2024 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, hari ini. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir, dengan dihadiri Pengerusi KWSP Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour, bersama ahli dan rakan kongsi FEN.

Dengan tema “Bijak Wang, Hidup Sejahtera”, program selama sebulan bagi tahun ini bertujuan untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dan memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan, kemahiran dan alat yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan termaklum. FLM 2024 memfokuskan pada topik utama untuk meningkatkan kepintaran kewangan, termasuk pengurusan kewangan peribadi, pengurusan risiko, pengetahuan pelaburan, perancangan persaraan dan literasi kewangan digital dengan penekanan yang kuat pada pencegahan penipuan.

Dalam ucaptamanya, Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki berkata, “Bulan Literasi Kewangan dianjurkan pada masa yang tepat ketika peralihan demografi yang berkembang pesat, pertumbuhan ekonomi, dan pendigitalan perkhidmatan kewangan. Seiring kemunculan cabaran dan peluang baharu, literasi kewangan melangkaui aspek belanjawan dan simpanan asas. Setiap individu harus diperkasakan untuk membina masyarakat yang berdaya tahan kewangan untuk menempuhi dunia kewangan yang kompleks pada hari ini, mengurus perbelanjaan, merancang persaraan dan melindungi diri daripada penipuan.

“Betapa pentingnya untuk mengukuhkan pendidikan kewangan merentasi semua segmen masyarakat bagi memastikan individu, keluarga dan komuniti berupaya untuk membuat keputusan kewangan termaklum sepanjang kitaran hayat mereka. Atas komitmen pendidikan kewangan, KWSP bersama pihak berkepentingan lain terus memainkan peranan proaktif dalam menyediakan rakyat Malaysia dengan ilmu pengetahuan dan sokongan yang diperlukan dalam pengurusan kewangan untuk membina masa depan yang terjamin,” tambah Tan Sri Mohd Zuki.

FLM ialah program perdana tahunan yang dianjurkan oleh FEN, sebuah jaringan yang merangkumi ahli termasuk BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, KWSP, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Sepanjang bulan Oktober, ahli dan rakan kongsi FEN akan menganjurkan aktiviti literasi kewangan di seluruh negara untuk menyokong dan memacu aspirasi Ekonomi MADANI, memperkasakan rakyat Malaysia dengan ilmu celik kewangan.

Salah satu inisiatif utama bulan ini ialah jerayawara FLM2024 di seluruh negara oleh Skuad Celik Kewangan FEN yang mendekatkan pendidikan kewangan kepada rakyat, juga merangkumi khidmat nasihat kewangan untuk pengguna oleh KWSP, BNM dan AKPK. Inisiatif ini meliputi lebih 80 lokasi di seluruh negara untuk meningkatkan tahap kesedaran kewangan dan menyediakan alat yang penting dalam pengurusan kewangan peribadi disediakan terutamanya untuk golongan kurang mendapat perkhidmatan. Perkara ini termasuk perancangan jangka panjang, pengurusan risiko dan literasi kewangan digital. Usaha ini diperkukuhkan lagi oleh institusi kewangan yang mengambil bahagian di bawah inisiatif Bank Bergerak yang akan memanfaatkan jaringan akar umbi mereka untuk mendekati komuniti yang kurang bernasib baik bagi menyampaikan pendidikan kewangan secara langsung kepada golongan yang amat memerlukan. Tumpuan khusus akan diberikan kepada pelajar dari institusi TVET di bawah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, serta komuniti kurang mendapat perkhidmatan, termasuk Orang Asli dan usahawan mikro.

Sempena inisiatif ini, KWSP akan bekerjasama menganjurkan Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan (NFLS) 2024 dari 2-3 Oktober di tempat yang sama, dengan BNM dan AKPK. Bertemakan “Kesejahteraan Kewangan Inklusif – Memupuk Keupayaan Kewangan Merentas Komuniti”, simposium ini menumpukan usaha untuk memanfaatkan penyelidikan berasaskan bukti dalam membentuk keberkesanan penggubalan dasar dan memperkasakan komuniti. Acara dua hari itu akan menampilkan gabungan perbincangan panel dan pembentangan kertas penyelidikan oleh pakar domestik, serantau dan antarabangsa, membincangkan topik yang berkaitan dengan pemerkasaan kewangan pengguna, serta risiko dan peluang dalam memupuk amalan kewangan yang inklusif dan mampan, untuk perniagaan dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

Dikeluarkan oleh

Unit Editorial dan Perhubungan Media
Jabatan Hal Ehwal Korporat
1 Oktober 2024

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan terkemuka di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Selaras dengan matlamatnya untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. KWSP terus komited kepada ahli melalui inisiatif-inisiatif untuk mengemaskini dan menambah baik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.

Mengenai Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN)

Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) merupakan satu platform antara agensi yang terdiri daripada institusi dan agensi yang komited untuk meningkatkan literasi kewangan rakyat Malaysia. FEN memanfaatkan sumber dan kepakaran ahlinya untuk menyelaras, bekerjasama dan secara kolektif memacu usaha menggalakkan inisiatif pendidikan kewangan yang berkesan kepada rakyat Malaysia.